Sabtu, 28 Desember 2013

Lubang maut menanti mangsa



  • Lubang maut menanti mangsaGambar ini dirakam Ogos lalu namun keadaan jalan bertambah teruk selepas sebulan
MACHANG - Penduduk meminta pemimpin tempatan dan pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah jalan rosak yang semakin meruncing, di sini, semalam.

Akhir Ogos lalu, Sinar Harian menyiarkan keluh-kesah penduduk di sini mengenai masalah yang sama, malangnya tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Dakwa mereka, saban hari ada sahaja kemalangan yang berlaku di kawasan berkenaan berikutan terdapat kira-kira empat ‘lubang maut’ di jalan tersebut, ditambah pula dengan kerosakan lain.

Seorang penduduk, Asiah Ahmad berkata, masalah itu bukan perkara remeh yang boleh dipandang ringan, apatah lagi ia melibatkan soal nyawa penduduk dan pengguna.

Katanya, pihak berwajib perlu mengambil tindakan yang sewajarnya dengan membaiki jalan tersebut bagi   mengelak kejadian sama berulang.

Kenderaan berat angkut bijih timah guna laluan

“Masalah jalan ini berulang-ulang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dipercayai berpunca daripada kenderaan berat yang mengangkut bijih timah dekat sini.

“Kami tidak larang lori guna jalan ini tetapi perlu ada kaedah bagi mengelakkan masalah ini berlaku. Kami bukan sahaja tidak dapat menikmati kemudahan tetapi juga diancam bahaya setiap hari,” katanya.

Asiah berkata, tragedi hitam yang berlaku kepada seorang penduduk pada tahun lepas perlu dielakkan dengan segera membaiki jalan rosak tersebut.

Katanya, tahun lalu seorang warga emas maut dalam kemalangan apabila motosikal yang ditunggangnya terjatuh ke dalam ‘lubang maut di jalan tersebut.

Sementara itu, seorang pengguna, Sulaiman Mat Ali berkata, jalan terbabit perlu diturap sepenuhnya  dengan kaedah yang betul.

Katanya, lebih 2,000 penduduk dan pengguna menggunakan jalan itu saban hari dan masalah jalan rosak itu menghantui kehidupan mereka.

“Jalan ini adalah jalan utama kami di sini, mahu atau tidak, kami tidak punya pilihan lain. Kami  bukan tidak berhati-hati tetapi ada sahaja kemalangan yang berlaku akibat mengelak lubang.


“Jangan sampai ada nyawa yang melayang, baru masing-masing sibuk mahu baiki jalan dan sebagainya. Kami bukan nak tuding jari tetapi kami harap pihak berkenaan faham masalah kami ini,” katanya.

Sulaiman berkata, pihaknya mengharapkan tindakan proaktif daripada pemimpin tempatan dan juga agensi berwajib bagi sama-sama membantu penduduk kampung yang dihimpit pelbagai masalah akibat kerosakan tersebut.

Adun akan bincang dengan pengusaha lombong

Mengulas lanjut masalah penduduk tersebut, Adun Temangan, Datuk Mohamed Fadzli Datuk Hassan berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkenaan bagi selesaikan masalah itu.

Katanya, tindakan tersebut termasuklah berbincang dengan pengusaha lombong bersama Majlis Daerah Machang dan wakil penduduk, memandangkan kerosakan jalan tersebut dipercayai berpunca daripada kenderaan berat yang mengangkut bijih besi.

Menurutnya, selain di Pekan Temangan, masalah sama turut dihadapi penduduk Kampung Bukit Besi  dan Lepan Peringat, dekat sini.

"Langkah penyelesaian perlu bagi memastikan masalah ini tidak berulang dan saya mengharapkan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana jalan ini jalan persekutuan,” katanya selepas meninjau jalan yang rosak itu,  di sini, semalam. SH

Tidak ada komentar:

Posting Komentar