Kamis, 19 Desember 2013

KE7B Pelawa Belia Sertai Luncur Ski Di Greenland


PUTRAJAYA – Kelab Explorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) hari ini mempelawa belia Malaysia berusia bawah 35 tahun menyahut cabaran lasak meluncur ski sejauh 530 kilometer di Greenland yang dijadualkan tahun depan.

Penasihat Kehormat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata, program itu bertujuan mencabar generasi muda Malaysia untuk mengharumkan nama negara di persada dunia.

Program dijadualkan dari April hingga Mei tahun depan dan peserta akan berdepan cuaca yang ekstrem meluncur ski dari Ammassalik yang terletak di timur Greenland ke Sondre Stromfjord, barat Greenland.

“Jaraknya sama seperti dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu di Malaysia dan ini bukan satu cabaran yang mudah yang boleh diharungi oleh semua orang, hanya yang memiliki kekuatan fizikal, mental dan spiritual yang tinggi sahaja mampu melaksanakan misi sulung anjuran KE7B ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Presiden KE7B, Muhammad Muqharabbin Mokhtharuddin.

Akmar Hisham berkata, sesi pemilihan akan berlangsung di Stadium Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor pada 24 Ogos ini.

“Pada sesi pemilihan itu peserta perlu melalui ujian kelayakan dengan berlari sejauh 2.4 kilometer di bawah 10 minit untuk lelaki manakala 11 minit untuk peserta wanita,” katanya.

Mereka yang berminat perlu memiliki kelayakan akademik sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia dan menghantar profil peribadi setebal tiga muka surat menerusi e-mel ke ke7bgreenland@gmail.com sebelum 21 Ogos ini.

Mereka juga akan melalui ujian kepintaran IQ serta pelbagai pengetahuan am jika dipilih ke sesi pemilihan seterusnya.

KE7B akan memilih tujuh peserta terbaik iaitu lima lelaki dan dua wanita untuk menyertai ekspedisi itu, kata Akmar Hisham.

Mereka yang berminat boleh menghubungi KE7B di talian 03-6151 2144, 013-999 1000, 011-1999 1000 atau 012-397 0568 untuk keterangan lanjut. – Bernama

Tidak ada komentar:

Posting Komentar